myMetro | Dikeroyok geng penarik kereta
Menceritakan semula kejadian itu, Norlieza berkata, ketika kejadian dia berseorangan di rumah sewanya manakala rakannya keluar sebelum melihat dua kereta dinaiki enam lelaki berhenti di depan rumah.
“Saya cuba menghalang mereka daripada merosakkan kereta sebelum seorang meminta kunci kereta. “Saya enggan memberinya kerana mereka tidak menunjukkan notis penarikan kereta daripada bank,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Menurutnya, kumpulan lelaki terbabit turut bertindak kurang ajar apabila menyatakan mahu merampas kereta itu untuk kegunaan mereka dan mahu menjual peralatan kereta itu bagi mendapatkan wang. Malah, mereka turut mencabarnya menghubungi polis apabila dia cuba menghalang perbuatan itu.
“Saya bernasib baik apabila teman serumah tiba-tiba pulang dan segera menghubungi polis menyebabkan kumpulan lelaki itu beredar dan tidak sempat merampas kereta saya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani.
Katanya, kejadian itu kali kedua berlaku apabila kumpulan sama menahannya di Jalan Ibrahim, di sini, pada 9 November lalu.
“Kereta saya tiba-tiba dihalang Proton Waja dinaiki dua lelaki sebelum seorang daripada mereka masuk ke dalam kereta dan mengugut menyerahkan wang jika tidak mahu kereta dirampas. Saya yang ketakutan memberikannya RM100 sebelum mereka beredar.
“Bagaimanapun, setengah jam kemudian ketika di kawasan Kampung Penghulu Him, di sini, dua lagi lelaki dipercayai rakan mereka menghalang kereta saya dan meminta RM2,000. Norlieza berkata, dia yang ketakutan memberikan RM1,500 sebelum baki RM500 diberikan malamnya.
Jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan membuka kertas siasatan.





