Hantaran kini ikut konsep perkahwinan

Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

HIASAN gubahan pengantin berubah mengikut peredaran semasa. Dahulu, hantaran lebih kepada teknik atau cara mempelai menggubah perhiasan dalam bentuk tertentu.
Kini, penggunaan perhiasan seperti bunga, bakul dan bekas hantaran moden, mewah serta memenuhi gaya kontemporari memenuhi cita rasa mempelai.

Pelbagai gaya rekaan gubahan semakin diminati pasangan bergantung kepada konsep majlis keraian. Ada yang memilih konsep hantaran berdasarkan warna pakaian serta tema majlis seperti ala Inggeris, Bali atau tradisional.

Namun perhiasan tidak semestinya menggunakan bunga segar sebagai memenuhi tata cara menghias. Penggunaan bunga plastik yang pelbagai di pasaran dengan bentuk dan warna seakan-akan sama de�ngan bunga segar turut menjadikan gubahan nampak hidup dan mewah. Apa yang penting adalah idea dan konsep.


Menurut Pembantu Penyelia Kraftangan Thank Q, Shazreen Samsul, kini konsep Inggeris semakin mendapat perhatian. Kombinasi dua warna seperti putih-hitam, ungu-putih, merah jambu-hitam, kuning dan merah-hitam semakin menjadi pilihan mempelai.

“Selepas mendapat idea serta konsep perkahwinan barulah gubahan dibuat. Biasanya ia mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan satu set hantaran,” katanya.

Namun menurut Shazreen, sebaiknya pasangan memilih hantaran yang disediakan bergantung kepada tema pasangan kerana harganya lebih murah berbanding tempahan mengikut ilham sendiri.

Semua hantaran menggunakan bunga plastik kemudian diserikan dengan reben pelbagai warna serta menambah keunikan dengan bekas yang unik dan tersendiri.

Dia menyediakan satu set hantaran iaitu tujuh dulang bermula pada harga terendah RM400 dan semakin meningkat bergantung kepada bunga serta teknik gubahan digunakan. Biasanya gubahan eksklusif bernilai RM1,300 untuk tujuh dulang hantaran.

Bagi mempelai yang ingin menempah, dia menasihatkan supaya hantaran ditempa selewat-lewatnya tiga minggu sebelum majlis berlangsung atau boleh mendapatkan gubahan sedia ada mengikut konsep majlis.

Terima kasih:
  • Kraftangan Thank Q (www.thankq.com.my)

  • Alamat: No 102-109, Jalan 3/3, Nilai 3, Nilai Negeri Sembilan.

  • Kongsi artikel ini menerusi media sosial

    *untuk renungan Bersama-sama*